Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017…Ibarat Pesta Ilmu yang Meriah…
Tahun ini, saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lagi. Tahun ini, ianya berlangsung dari 28 April hingga 7 Mei 2017. Satu acara yang pasti dikunjungi setiap tahun. Tahun ini lebih menarik kerana saya telah mendaftarkan diri untuk Perhimpunan 1000 penulis. Taglinenya , Perhimpunan 1000 penulis-Seribu Tetapi Satu: Negaraku. Untuk pengetahuan semua, mereka yang layak menyertainya ialah seorang penulis, yang menulis apa sahaja. Saya cuma penulis kecil, yang menulis sajak dan cerpen untuk majalah sekolah. Pernah juga hasil penulisan saya disiarkan 4 kali dalam majalah Dewan Masyarakat satu ketika dulu.
Seawal jam 6.00 pagi selepas solat subuh saya bertolak dari rumah. Saya harus sampai sebelum pukul 9.00 pagi di PWTC ( Pusat Dagangan Dunia Putra) sebelum acara Perhimpunan 1000 penulis bermula. Saya menaiki kereta ke Stesen KTM Komuter Klang. Saya menaiki KTM Komuter dalam pukul 7.10 pagi dan sampai di stesen Putra dalam pukul 8.35 pagi. Alhamdulilah mendaftarkan diri dikaunter pendaftaran yang telah ramai datang dan beratur panjang. Peserta diberi goodies bag yang didalamnya baju perhimpunan 1000 penulis, cenderamata, suratkhabar dan sijil penghargaan. Dalam hati, patutnya saya mengajak pelajar SMK Bandar Banting yang menulis dalam kelab Fotojurnalis bersama-sama menyertainya..dapat sijil peringkat antarabangsa lagi untuk markah ko-kurikulum. Okey, tahun depan saya mesti bawa 2 atau 3 orang pelajar.
Bertemakan Seribu Tetapi Satu : Negaraku, dimulakan dengan ucaptama oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Madya Dr Ramzah Dambul, seorang pengarang kreatif dan pelukis mengupas tajuk – Aku Penulis, Apa yang aku Mahu Adalah….Seterusnya tajuk Penulis Merentasi Sempadan dan Generasi oleh penulis dari 4 negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia. Penulis Isa Kamari dari Singapura sangat terkenal dengan novel-novelnya dan memenangi banyak anugerah. Salah satu novel beliau yang telah saya baca ialah Memeluk Gerhana. Seterusnya tajuk yang dikupas ialah Negaraku- Apresiasi dan masa depan sastera generasi muda dan salah satu penulis yang dijemput untuk mengupasnya ialah Hilal Asraf, seorang penulis motivasi keagamaan yang terkenal dengan penghasilan buku dan di blog..Saya teringat kata-kata beliau,” Hendak menjadi penulis hebat, anda perlu menjadi pembaca hebat terlebih dahulu”. Sesi terakhir dengan tajuk Adaptasi Novel ke Filem. Ramlee Awang Murshid dari Malaysia dan Triniti dari Indonesia mengupas tajuk ini. Perhimpunan yang julung kali di adakan ini adalah untuk mencapai resolusi bagi melaksanakan inisiatif membantu penulis sendiri melalui penubuhan Yayasan Penulis Malaysia. Acara Perhimpunan ini tamat selepas makan tengahari lebih kurang pukul 2.00 petang.
Memang ramai penulis yang terkenal hadir dalam perhimpunan ini. Antaranya Prof Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku Travelog Haji dan isteri beliau Roza Roslan, penulis Travelog Cinta Abadi. Mereka telah menulis berpuluh-puluh buku yang menjadi bestsellers. Saya sempat berjumpa dan bergambar dengan mereka. Buku-buku yang mereka tulis dan telah saya baca memang memberi inspirasi. Sempat juga bergambar dengan penulis novel yang saya minati Noor Suraya dengan masterpiece novel Nyanyian Tanjung Sepi.
Tamat perhimpunan 1000 penulis maka bermulalah perjalanan saya ke Booth-booth di pesta buku. Kenapa ke Pesta Buku? Jawapannya mudah, buku yang dijual sangat murah dan sangat-sangat berbaloi untuk dibeli. Sukar untuk saya ceritakan satu persatu booth-booth yang mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini. Saya akan ceritakan booth yang menjadi tumpuan dan hot sahaja..
Bagi pencinta buku-buku novel, reruai(Booth) Karya Seni, Fajar Pakeer, Jemari Seni dan Karangkraf perlu anda kunjungi. Pelbagai jenis novel dijual di sini dengan harga runtuh. Novel-novel terbaru juga diberi potongan 20% dan novel yang lain sehingga 50%. Saya melihat novel Adaptasi drama menjadi pilihan pengunjung seperti novel , Shhh..I love You, The Weeding Breaker dan banyak lagi.
Pelajar sekolah pula pastinya akan ke reruai Sasbadi, Popular Book, Oxford Press dan Pustaka Rakyat bagi memilih pelbagai jenis buku rujukkan peperiksaan dari PT3, SPM dan STPM. Buku-buku rujukkan dan latihan peperiksaan terkini harus dibeli. Pakej-pakej belian yang ditawarkan memang murah dan terbaik. Tidak hairanlah jika ke booth ini, pelajar sekolah dan ibubapa mengambil peluang terbaik ini memborong banyak buku rujukkan.
Gerai Institut Terjemahan Buku Malaysia(ITBM) menjadi tumpuan saya setiap tahun kepesta buku. Buku-buku di reruai ini ada yang dijual sehingga 70-80%. Buku-buku penulis luar negara yang dialih Bahasa ke tulisan Bahasa Melayu ada di sini. Salah satu buku buku yang saya beli di booth ITBM ialah, Cinta Sangkuriang, Rindu Oedipus merupakan himpunan cerpen Finalis Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007- Edisi Ulangtahun ke-10. Bagi peminat buku-buku Bahasa, anda harus kunjungi reruai Dewan Bahasa Dan Pustaka(DBP). Buku- buku perihal Bahasa dan sastera ada disini. Buku pantun, sajak, syair, cerpen, novel mahupun kamus Bahasa menjadi pilihan pengunjung di sini. Saya membeli buku, Kumpulan Gurindam:Gurindam Warisan Ibunda. Menarik dan begitu teruja sekali saya membacanya.
Bagi yang mencari sedikit kelainan dalam pembacaan, bolehlah ke gerai Dubook Press dengan Tagline Liar dan Angkuh ataupun ke reruai Thukul Bersekutu untuk mendapatkan buku-buku bercorak indie mahupun penulisan yang agak berani dan lain dari yang lain. Bagi kanak-kanak, reruai Gempak Staz dan gerai Bekazon(Ujang & APO) menjadi tumpuan. Majalah komik dan kompilasi penulis-penulis komik boleh kita dapatkan di sini.
Pencinta buku-buku bercorak keagaman bolehlah ke booth Telaga Biru mahupun reruai Galeri Ilmu. Pelbagai jenis buku keagamaan dan motivasi ada disini. Potongan harga yang diberi memang berbaloi dan termurah. Tidak sah rasanya jika anda tidak ke Booth PTS Publications. Buku-buku setinggi RM 20 lebih dijual dengan harga RM3 – RM10 sahaja. Memang murah gila!
Penat rasanya kegerai-gerai menjual buku, apa kata kita rehat sebentar di Pentas Utama Pesta Buku. Ada pelbagai aktiviti dari bicara buku, temubual bersama penulis ke pelancaran buku-buku terbaru dilangsungkan di pentas utama. Persembahan bacaan puisi dan lagu juga ada di sini. Pengunjung harus mendapatkan senarai aktiviti yang akan dilangsungkan di kaunter urusetia pesta buku.
Tips beli buku di Pesta buku oleh Cikgu Hashim:
1. Bawa duit- biasanya RM 400-500.(boleh potong LHDN, pembelian buku sampai RM1000 kut)
2. Guna pengangkutan awam- senang dan mudah- tiada jem mahupun mencari parking.
3. Seminggu sebelum pergi, akan melawat laman web mahupun FB penerbit dan pengeluar buku- biasanya mereka akan update buku-buku terbaru dan potongan harga di pesta buku.
4. Sila LIKE FB Pesta Buku Antarabangsa KL- banyak update terkini dan aktiviti dipaparkan.
5. Carilah buku-buku yang anda minati dan akan anda baca….
Selamat berpesta Ilmu..Selamat membaca- Membaca membuka Minda…
Coretan Khas dari pecinta buku, Cikgu Hashim Bin Saidin