MAHARAJA dan MAHARANI - Itulah tema Hari Guru dan Hari Pekerja SMK Bandar Banting tahun ini. Para guru dan staf begitu segak dan anggun mengenakan persalinan ala-ala maharaja dan maharani. Ada yang berpakaian ala Kesultanan Melayu Melaka, ada pula yang berpakaian tradisional Korea dan India. Keindahan dan kecantikan warna-warni pakaian para guru dan staf SMKBB mencerminkan juga suasana sambutan. Para murid begitu teruja melihat guru kesayangan mereka begitu berbeza hari ini. Masakan tidak, hanya hari-hari sebegini saja para murid dapat melihat gurunya 'melaram' tetapi batas-batas adat pemakaian masih dijaga.
Hujan renyai mengiringi permulaan majlis, dibawah bumbung Dataran Bestari alunan bacaan Yassin berkumandang dan diikuti tahlil ringkas yang dipimpin oleh Ustaz Ghozali. Seusai bacaan Yassin dan tahlil, perarakan para guru dimulakan sambil diiringi paluan kompang dan bacaan selawat ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Sambil melemparkan senyuman manis, anak murid melambai para guru yang tidak kenal penat jerih dalam mendidik mereka. Para guru berbaris di hadapan pentas, hadirin berdiri tegak menyanyikan lagu-lagu keramat Negaraku, Negeri Selangor, Aku Negaraku dan sudah semestinya lagu pembakar semangat para guru, Kami Guru Malaysia. Ikrar guru diketuai oleh Cikgu Danial dilafazkan.
Acara diteruskan dengan sesi fotografi guru dan staf. Pelbagai gaya dan aksi para guru dapat dirakamkan oleh lensa kamera kelab fotojurnalis. Setelah selesai sesi fotografi para guru mengambil tempat duduk yang disediakan. Kejutan yang diterima guru ketika ini ialah setiap guru dihadiahkan jambangan bunga 'bouquet' yang disisipkan bukan sahaja bunga malah coklat, pen, dan pelbagai lagi. Memang sungguh menarik dan kreatif sekali.
Ucapan ketua murid telah selesai, ucapan pengetua dan Yang Di-Pertua PIBG iaitu En Kadiran Jamil juga sudah. Kini tiba masanya ucapan perasmi majlis iaitu En Sa'adon Marban, Penolong PPD Bahasa Melayu (Sekolah Menengah). Ucapan beliau menggambarkan bahawa peri pentingnya peranan guru dan sambutan setiap tahun diadakan sebagai tanda penghargaan jasa guru yang tidak ternilai. Beliau juga memuji usaha pihak sekolah dalam memastikan majlis sambutan tahunan ini berprestij dan gemilang.
Penghargaan bukan sahaja diberi pada guru, malah acara dua dalam satu ini turut meraikan kakitangan sekolah yang juga tulang belakang kepada sistem pengurusan sekolah yang mapan. Ibarat pepatah, 'Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing', tanpa sokongan dan bantuan mereka, mana mungkin pengurusan sekolah berjalan lancar dan baik. Encik Shahbudin atau panggilan mesranya Pak Din yang merupakan kakitangan pembersihan sekolah akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan Mei. Sebagai mengenang jasa beliau yang cukup setia berkhidmat disekolah selama lebih 10 tahun, pihak sekolah telah menghadiahkan cenderahati sebagai kenang-kenangan.
Sesuatu majlis bagai tidak kena kalau tidak ada elemen kejutan. Gimik sambutan kali ini berdasarkan konsep agen penyelamat. Bak kata orang macam 'James Bond' atau animasi tempatan yang popular masa kini, Ejen Ali. Secara ringkasnya gimik kali ini berkisarkan usaha beberapa agen menyelamatkan Pengetua, Puan Hajah Ros daripada diculik pihak musuh yang berniat jahat. Aksi pertarungan yang dipertontonkan benar-benar menghiburkan para penonton. Syabas buat badan pengawas yang menjayakan gimik sambutan hari guru yang sangat baik tahun ini.
Majlis berehat sebentar bagi memberi laluan para guru dan murid mengisi perut. Sambil menjamu selera, para penonton dihidangkan dengan persembahan nyanyian akustik oleh murid-murid yang berbakat dalam bidang nyanyian. Lagu-lagu yang didendangkan kebanyakkannya lagu-lagu arus perdana yang dekat dengan anak muda masa kini. Tidak ketinggalan juga lagu-lagu yang bertemakan guru.
Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Sukaneka menanti para guru dan murid setelah berehat menjamu selera. Terdapat pelbagai acara sukaneka yang ringkas dipertandingkan. Antaranya guru lelaki mengenakan tudung, guru paling pantas meleraikan 'sticky note' yang ditampal diseluruh badan, guru wanita jurusolek anak murid, dan tutup mata sambil menyeluk kotak yang mengandungi serangga dan binatang yang menggelikan. Acara ini bertujuan mengeratkan ukhuwah antara guru dan murid sambil berhibur secara santai. Setelah mendengar hilai tawa dan sorak gempita dek penangan sukaneka, acara diteruskan dengan sesi persembahan. Persembahan kali ini menyaksikan pelbagai variasi. Persembahan dimulakan dengan Uncle Ban Lee. Pemilik perniagaan pakaian yang terkemuka di Banting ini hadir bagi mempersembahkan kemahirannya bermain instrumen harmonika. Alunan lagu seperti Top of the World dan Rasa Sayang benar-benar memikat para penonton. Persembahan kedua adalah deklamasi sajak oleh para murid SMKBB sebagai ekspresi penghargaan kepada para pendidik. Bait-bait sajak yang disampaikan dengan penuh penghayatan, meresap ke jiwa setiap hadirin yang mendengarnya. Persembahan penutup pula ialah sketsa. Sketsa suasana SMKBB pada hari kebiasaan. Beberapa orang murid telah melakonkan watak guru SMKBB. Antara watak guru yang ditonjolkan ialah Cikgu Aiman, Cikgu Danial, Puan Azlina, Cikgu Ayuni, Cikgu Anizah, Cikgu Hawa dan Cikgu Ahwali. Tidak sangka mereka dapat meniru watak guru begitu berkesan sekali. Sketsa ini memberi pengajaran agar para murid senantiasa hormat akan guru mereka supaya ilmu yang diperoleh berkat lantas memberi peluang yang cerah dalam menggapai kejayaan dalam bidang akademik. Kesemua persembahan wajar diberikan pujian kerana mutu dan kesungguhan yang ditunjukkan. Sesungguhnya kami, warga guru amat-amat menghargai akan usaha murni mereka yang bertungkus lumus menjayakan sambutan hari yang bermakna ini. Menerusi acara sebegini dapat dilihat hubungan antara guru dan murid ibarat aur dan tebing.
Penutup majlis ialah sesi penyampaian hadiah. Buat pengetahuan semua, sepanjang bulan Mei ini pelbagai pengisian telah dibuat bagi memeriahkan bulan sambutan hari guru ini. Antaranya, pertandingan petanque, badminton, JomFit, JomRead dan pelbagai lagi. JomFit merupakan pertandingan yang memerlukan guru menurunkan berat badan bagi mencapai berat badan ideal dan mengamalkan gaya hidup sihat, manakala JomRead melihat seberapa banyak buku yang dibaca oleh guru sepanjang bulan Mei 2017. Antara kelainan yang dibawa oleh badan pengawas tahun ini ialah pertandingan undian guru mengikut kategori menerusi platform VLE Frog, dimana murid perlu mengakses VLE Frog dan mengundi guru dan staf kegemaran mereka mengikut kategori yang disediakan antaranya Guru Paling Popular, Guru Paling Penyabar, Guru Paling Peramah dan pelbagai lagi kategori. Acara kemuncak ialah pertabalan Maharaja dan Maharani. Guru yang berpakaian menepati tema akan diundi oleh para pentadbir untuk dinobatkan Maharaja dan Maharani SMKBB. Kata sepakat menobatkan Cikgu Vijayakumar sebagai Maharaja dan Puan Nor Azlina sebagai Maharani.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Semua acara telah selesai dan segala yang dirancang berjalan mengikut yang dihajati. Majlis tamat jam 12.20 tengah hari. Selain dari hari guru, hari ini hari yang cukup bermakna kerana hari ini merupakan 29 Syaaban bermakna umat Islam akan menempuh bulan yang penuh barakah, Bulan Ramadhan. Hari ini juga merupakan penghulu segala hari iaitu hari Jumaat. Tidak lupa hari ini merupakan hari terakhir sesi persekolahan sebelum cuti pertengahan tahun bermula. Jutaan terima kasih mereka yang telah menjayakan sambutan hari guru dan hari pekerja yang gilang gemilang tahun ini.
Pulau Pandan Jauh Ke Tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga,
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Budi Yang Baik Dikenang Juga.
~Jurnalis Afy~