SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK BANDAR BANTING  »   Iltizam dan Tawakal Asas Kecemerlangan

Sabtu, Mei 27

Mesyuarat Agung Koperasi SMKBB Kali Ke-16


Alhamdulillah pada tahun ini mesyuarat dapat dilaksanakan di Dewan Bestari yang sungguh indah. Ramai ahli yang dapat dikumpulkan untuk mendengar laporan aktiviti dan kewangan koperasi bagi Tahun Kewangan 2015. Majlis berjalan lancar dan beberapa berita gembira telah diumumkan yang mana memberi keuntungan kepada ahli-ahlinya. Mesyuarat ini merupakan agenda wajib setiap tahun untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang fungsi koperasi bukan hanya sekadar menjalankan perniagaan malah keuntungan yang diperolehi oleh koperasi dikongsi bersama ahli-ahlinya. Alhamdulillah, bagi tahun kewangan 2015, ahli-ahli akan menikmati dividen yang paling tinggi pernah direkodkan dan akan mula diagihkan selepas Hari Raya Aidilfitri. Beberapa pelaburan juga telah diusulkan dan akan dijalankan dengan sokongan semua ahli. Akhir kata, terima kasih kerana sentiasa menyokong koperasi. 

"Keuntungan Koperasi Kita Nikmati Bersama"

Jumaat, Mei 26

Ratu dan Rajakah kami di hati anak murid?


MAHARAJA dan MAHARANI - Itulah tema Hari Guru dan Hari Pekerja SMK Bandar Banting tahun ini. Para guru dan staf begitu segak dan anggun mengenakan persalinan ala-ala maharaja dan maharani. Ada yang berpakaian ala Kesultanan Melayu Melaka, ada pula yang berpakaian tradisional Korea dan India. Keindahan dan kecantikan warna-warni pakaian para guru dan staf SMKBB mencerminkan juga suasana sambutan. Para murid begitu teruja melihat guru kesayangan mereka begitu berbeza hari ini. Masakan tidak, hanya hari-hari sebegini saja para murid dapat melihat gurunya 'melaram' tetapi batas-batas adat pemakaian masih dijaga. 

Hujan renyai mengiringi permulaan majlis, dibawah bumbung Dataran Bestari alunan bacaan Yassin berkumandang dan diikuti tahlil ringkas yang dipimpin oleh Ustaz Ghozali. Seusai bacaan Yassin dan tahlil, perarakan para guru dimulakan sambil diiringi paluan kompang dan bacaan selawat ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Sambil melemparkan senyuman manis, anak murid melambai para guru yang tidak kenal penat jerih dalam mendidik mereka. Para guru berbaris di hadapan pentas, hadirin berdiri tegak menyanyikan lagu-lagu keramat Negaraku, Negeri Selangor, Aku Negaraku dan sudah semestinya lagu pembakar semangat para guru, Kami Guru Malaysia. Ikrar guru diketuai oleh Cikgu Danial dilafazkan. 

Acara diteruskan dengan sesi fotografi guru dan staf. Pelbagai gaya dan aksi para guru dapat dirakamkan oleh lensa kamera kelab fotojurnalis. Setelah selesai sesi fotografi para guru mengambil tempat duduk yang disediakan. Kejutan yang diterima guru ketika ini ialah setiap guru dihadiahkan jambangan bunga 'bouquet' yang disisipkan bukan sahaja bunga malah coklat, pen, dan pelbagai lagi. Memang sungguh menarik dan kreatif sekali. 

Sabtu, Mei 20

Fun Ride Hari Guru Daerah Kuala Langat


Hari Guru di Kuala Langat tahun ini begitu berbeza sekali. Inisiatif PPD Kuala Langat mengadakan pelbagai program dan aktiviti sempena hari guru menjadi kenangan terindah buat semua insan bergelar guru di Kuala Langat. Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan sepanjang bulan Mei ini, antaranya Karnival Hari Guru di Dataran Morib, Fun Fishing, Fun Run, Karaoke, Fun Ride dan pelbagai lagi. SMK Bandar Banting turut terasa bahangnya, apabila diberi tanggung jawab sebagai tuan rumah program FUN RIDE HARI GURU DAERAH KUALA LANGAT. Ternyata program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama golongan pendidik di daerah ini. Bonusnya pula, setiap guru yang menyertai program-program yang dijalankan akan mendapat kredit 1 hari telah menghadiri latihan dalam perkhidmatan (LADAP). Alhamdulillah, fun ride berjalan lancar dan terpampang wajah keceriaan para guru yang menyertainya. Pengisian lain dalam acara Fun Ride ini ialah Cabutan Bertuah. Semoga ukhuwah antara warga pendidik di daerah ini terus mekar, lantas menjadi pemangkin kecemerlangan pendidikan di daerah tercinta ini. Harapan kami agar program baik seperti ini dapat dijadikan acara tahunan. "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA" 

Selasa, Mei 9

Belajar Seni & Sejarah di Negeri Adat Perpatih


Buat julung kalinya, Panitia Pendidikan Seni telah menganjurkan satu lawatan khas ke Negeri Sembilan. Lawatan khas ini telah disertai seramai 38 pelajar dan 2 orang guru pengiring. Bas yang membawa kami tiba di perkarangan sekolah pada jam 7:15 pagi dan bertolak pada jam 7:45 pagi. 

Destinasi pertama kami adalah FKF Ceramic & Flora Enterprise yang terletak di Seremban. Setibanya kami disana pada jam 9:30 pagi, Kami di sambut oleh pemilik yang sangat peramah. Semasa kami dijemput masuk, kami dapat melihat pelbagai corak,rupa,bentuk yang dihasilkan menggunakan seramik. Di sana kami telah belajar bagaimana cara tanah liat dijadikan sebagai seramik. Seramik merupakan gabungan unsur tanah, air, udara dan api. Tanah yang telah sebati dengan campuran air dan sejenis bahan kimia akan menjadi tanah liat yang stabil untuk di bentuk. Setelah proses membentuk, tanah akan dibiarkan sebentar sebelum dibakar pada suhu 900-1000 darjah Celcius didalam sebuah “oven” khas . Kami turut mempraktikkan cara membentuk tanah liat sebelum dijadikan tembikar . Selepas itu, semua pelajar ,guru pengiring dan pemilik FKF Ceramic & Flora Enterprise telah mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.

Isnin, Mei 8

Satu Hari di Pesta Buku


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017…Ibarat Pesta Ilmu yang Meriah…

Tahun ini, saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lagi. Tahun ini, ianya berlangsung dari 28 April hingga 7 Mei 2017. Satu acara yang pasti dikunjungi setiap tahun. Tahun ini lebih menarik kerana saya telah mendaftarkan diri untuk Perhimpunan 1000 penulis. Taglinenya , Perhimpunan 1000 penulis-Seribu Tetapi Satu: Negaraku. Untuk pengetahuan semua, mereka yang layak menyertainya ialah seorang penulis, yang menulis apa sahaja. Saya cuma penulis kecil, yang menulis sajak dan cerpen untuk majalah sekolah. Pernah juga hasil penulisan saya disiarkan 4 kali dalam majalah Dewan Masyarakat satu ketika dulu.

Seawal jam 6.00 pagi selepas solat subuh saya bertolak dari rumah. Saya harus sampai sebelum pukul 9.00 pagi di PWTC ( Pusat Dagangan Dunia Putra) sebelum acara Perhimpunan 1000 penulis bermula. Saya menaiki kereta ke Stesen KTM Komuter Klang. Saya menaiki KTM Komuter dalam pukul 7.10 pagi dan sampai di stesen Putra dalam pukul 8.35 pagi. Alhamdulilah mendaftarkan diri dikaunter pendaftaran yang telah ramai datang dan beratur panjang. Peserta diberi goodies bag yang didalamnya baju perhimpunan 1000 penulis, cenderamata, suratkhabar dan sijil penghargaan. Dalam hati, patutnya saya mengajak pelajar SMK Bandar Banting yang menulis dalam kelab Fotojurnalis bersama-sama menyertainya..dapat sijil peringkat antarabangsa lagi untuk markah ko-kurikulum. Okey, tahun depan saya mesti bawa 2 atau 3 orang pelajar.

Ahad, Mei 7

Warisan Keramat


Pada era globalisasi yang semakin mengalir deras kearah pembangunan, kita dikaburi dengan pelbagai masalah sosial dan generasi muda semakin dipengaruhi unsur yang merosakkan pemikiran bangsa dan mengamalkan hedonisme. Maka sebagai generasi yang bakal menjadi tunggak utama dalam pembangunan negara, kita haruslah menghapuskkan segala halangan dan masalah ini dengan memupuk nilai-nilai murni dan semangat cinta akan budaya yang diwarisi turun temurun.

Muzium Negeri Selangor dengan kerja sama Majlis Daerah Kuala Langat telah menggunakan modus operandi yang serupa dengn mengadakan Hari Muzium Antarabangsa peringkat Negeri Selangor di Dataran Pantai Morib Kuala Langat bagi menghargai tradisi dan warisan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Antara pengisian acara tersebut adalah pertandingan seni silat, memanah secara tradisional, pertandingan wau tradisional dan jualan keris nusantara. Selain itu,acara ini dilengkapkan dengan himpunan motor klasik yang terbesar di Malaysia.

(Silat)
Seni mempertahankan diri ini sememangnya menjadi warisan budaya dan melambangkan identiti bangsa Melayu. Malahan, seni mempertahankan diri ini dipersembahkan dalam majlis-majlis kebesaran dan lebih lebih lagi, pahlawan Tanah Melayu dahulukala mempertahankan nusa tercinta ini daripada penjajah yang haus dengan kekayaan. Tanpa seni ini, kemungkinan kita menjadi warga asing di tempat sendiri dan menjadi bangsa yang terkapai kapai tanpa hala tuju. Maka,memang satu tindakan yang bernas dan bijak apabila seni ini dipertandingkan sekaligus memupuk nilai sentimental dan cinta akan negara dalam jiwa dan raga generasi baharu.

‘TEGUH’ Umpama Pameran Fotografi Antarabangsa



Dalam melalui angin perubahan ke arah kemodenan, generasi baharu telah didedahkan dengan cabaran semasa seperti arus pembangunan yang semakin deras, suasana yang semakin kompetitif dan lahirnya warga yang kuat berdaya saing. Maka,wujudlah acuan generasi baharu bagi melayakkan diri dalam tempat-tempat yang terhad dalam hierarki pembangunan.


Sebagai contoh ,generasi baharu boleh menjinakkan diri dalam bidang fotografi yang semakin mendapat nama di peringkat antarabangsa malahan dapat melihat dunia dari perspektif yang berbeza.
Kelab Fotojurnalis di bawah pimpinan Encik Afyudin telah dijemput hadir dalam Pameran Fotografi TEGUH yang diadakan di IKBN Kuala Langat. Pelbagai karya agung yang dipamerkan di setiap "booth" dan para pelajar memberikan penerangan bagi setiap jenis karya. Para pelajar di sini dirangka dan diwarisi dengan rapi hasil tunjuk ajar dan bimbingan pensyarah.

Apabila pameran sedang dijalankan, para pelajar IKBN menjadi buruan soalan tentang keberangkatan itu apabila para pengunjung kagum dengan karya yang dipamerkan.
Bagi karya yang memenangi tempat pertama, beliau mengatakan betapa susahnya beliau menanti waktu yang sesuai dan tetapan yang mengikuti hukum bagi mendapatkan karya agung Milky Way. Karya tersebut memaparkan seorang lelaki yang duduk diatas motor dengan sawah padi yang terbentang luas dibawah bintang bintang yang berkilauan bagai permata. Suasana gambar juga amat simetri apabila di bahagian kiri gambar,matahari sedang menebarkan cahayanya ke seluruh pelusuk buana manakala sebelh kanan,suasana yang agak gelap seperti malam. Maka, tidak diragui karya ini sememangnya bertaraf antarabangsa.

Rabu, Mei 3

Beyond Engineering Innovation (BEGIN): “Permulaan” yang indah bagi sebuah epik perjalanan yang panjang



Projek ini sudah bermula sejak Mac yang lalu.

Projek ini dimulakan dengan pemilihan peserta yang dilakukan secara terbuka, guru penasihat menghadiri taklimat berkenaan pertandingan yang diadakan di Menara Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) serta perbincangan bersama dengan ahli kumpulan. 
Kumpulan inovasi kami turut menerima sokongan serta nasihat daripada mentor yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM.

Perbincangan dalam ahli kumpulan dimulakan dengan membentangkan isi-isi penting yang diperoleh semasa taklimat,membina 'timeframe' serta pembahagian tugas.
Untuk tugasan pertama Cikgu Salmah selaku guru penasihat telah meminta setiap ahli kumpulan mencari idea yang menarik berkenaan inovasi yang bertemakan 'trash to treasure' .
Seminggu berlalu dan setiap ahli kumpulan diminta membentangkan ciri-ciri idea inovasi masing-masing.

Pada ketika itu Cikgu Salmah selaku guru penasihat memberi penilaian awal berkenaan idea yang dibentangkan.

Hari berganti hari akhirnya kami sepakat memilih 'Natural Deodorant' sebagai projek inovasi kami yang menggabungkan bahan-bahan utama seperti kerak nasi/sisa lebihan nasi sebagai 'trash' dan lain-lain bahan penting sebagai melengkapkan resepi 'Natural Deodorant' kami.
Fasa pertama penilaian dimulakan dengan penghantaran 'Graphical Abstract' seterusnya 'Product Information' sebelum pembentangan hasil inovasi pada hari berlangsungnya pertandingan pada 3 Mei 2017.