Buat julung kalinya, Panitia Pendidikan Seni telah menganjurkan satu lawatan khas ke Negeri Sembilan. Lawatan khas ini telah disertai seramai 38 pelajar dan 2 orang guru pengiring. Bas yang membawa kami tiba di perkarangan sekolah pada jam 7:15 pagi dan bertolak pada jam 7:45 pagi.
Destinasi pertama kami adalah FKF Ceramic & Flora Enterprise yang terletak di Seremban. Setibanya kami disana pada jam 9:30 pagi, Kami di sambut oleh pemilik yang sangat peramah. Semasa kami dijemput masuk, kami dapat melihat pelbagai corak,rupa,bentuk yang dihasilkan menggunakan seramik. Di sana kami telah belajar bagaimana cara tanah liat dijadikan sebagai seramik. Seramik merupakan gabungan unsur tanah, air, udara dan api. Tanah yang telah sebati dengan campuran air dan sejenis bahan kimia akan menjadi tanah liat yang stabil untuk di bentuk. Setelah proses membentuk, tanah akan dibiarkan sebentar sebelum dibakar pada suhu 900-1000 darjah Celcius didalam sebuah “oven” khas . Kami turut mempraktikkan cara membentuk tanah liat sebelum dijadikan tembikar . Selepas itu, semua pelajar ,guru pengiring dan pemilik FKF Ceramic & Flora Enterprise telah mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.
Kami menaiki bas semula pada jam 12:30 tengah hari untuk pergi ke sebuah restoran untuk menjamu selera . Destinasi kami tidak terhenti di situ sahaja. Setelah menikmati hidangan tengah hari, kami bertolak ke Port Dickson melalui lebuh raya dan ianya mengambil masa selama 40 minit. Ketika dalam perjalanan, kami berehat sebentar dan menunaikan solat Zohor di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Senawang. Destinasi kami yang seterusnya ialah Muzium Tentera Darat Port Dickson. Setibanya kami di sana, kami teruja melihat dua buah kapal terbang milik tentera udara di kawasan pintu utama muzium tersebut. Muzium ini mempunyai 4 buah bangunan yang menempatkan sejarah-sejarah tentang tentera dari zaman darurat sehingga kini. Tidak dilupakan juga, muzium ini juga mempunyai sebuah replika terowong milik Parti Komunis Malaya (PKM). Terowong ini memuatkan barang-barang milik anggota PKM dan beberapa bilik seperti bilik bedah dan bilik mesyuarat. Jambatan gantung yang terdapat di situ telah menarik perhatian kami.
Selepas 2 jam kami disana, kami bergerak ke Masjid Tentera Darat Port Dickson yang terletak bersebelahan muzium untuk menunaikan solat Asar. Bas yang membawa kami memulakan perjalanan pulang pada jam 5 petang. Semasa dalam perjalanan pulang, ada di antara rakan kami berkongsi cerita, bersenda gurau dan ada yang tidur kerana kepenatan. Kami mewakili rakan rakan yang lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada FKF Ceramic and Flora Enterprise dan Muzium Tentera Darat Port Dickson kerana memberikan pengalaman yg sangat beharga kepada kami semua. Tidak lupa juga kepada Cikgu Azmi dan Ccikgu Jalaluddin kerana membimbing kami sewaktu lawatan kami ke sana. Kami berharap lawatan seperti ini dapat di anjurkan lagi di masa akan datang.
Laporan ini disediakan oleh:
Amir Fiqri & Shahir
Jurnalis SMKBB