SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK BANDAR BANTING  »   Iltizam dan Tawakal Asas Kecemerlangan

Isnin, Mac 20

Kembara Berbasikal dan Fotografi UPM Siri 3

Keindahan alam merupakan anugerah Tuhan yang sangat besar nilainya. Justeru menghargainya adalah satu kewajiban bagi setiap insan. Penghayatan ini diterjemahkan menerusi kembara berbasikal kali ini. Kembara Berbasikal & Fotografi UPM kali ini telah masuk tahun ketiga. 20 Mac 2017 merupakan tarikh keramat apabila para murid dan guru SMK Bandar Banting berkumpul di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM bagi ekspedisi berbasikal. Sebelum pengembaraan bermula, satu taklimat ringkas mengenai Kitar Semula Minyak Masak telah disampaikan oleh pihak UCTC. 

Cuaca hujan renyai-renyai bukanlah penghalang bagi kami untuk meneruskan kembara ilmu ini. Berbekal kot hujan dan topi keledar, perjalanan kami diteruskan. Hujan ini dianggap satu rahmat. Pengalaman berbasikal didalam hujan tidak akan kami lupakan. Setelah singgah di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, perjalanan diteruskan ke Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina. Para peserta diberi taklimat oleh Dr Samsul mengenai infrastruktur yang terdapat di salah satu Negara Scandinavia iaitu Denmark. Menerusi Pameran “Danish Infrasturcture Exhibition”, pengunjung dihidangkan dengan suasana dan gambaran kemodenan seni reka bentuk bangunan di Denmark. Setelah terpesona dengan kemodenan dan kreativiti masyarakat Denmark membangunkan infrasturktur di negara mereka, kembara diteruskan ke destinasi yang ketiga. 


Muzium Warisan Melayu. Terdapat pelbagai rumah tradisional Melayu yang tersergam indah disini. Peluang menjamu juadah makan tengah hari di dalam rumah tradisional Pahang memang satu pengalaman yang nostalgia. Terasa bagai berada di kurun ke-19. Selepas perut kenyang, kami di beri taklimat mengenai kehidupan tradisional masyarakat Melayu. Senjata, pakaian, naskah lama dan pelbagai lagi alat yang diguna pakai masyarakat Melayu dipamerkan disini. Kembara berbasikal berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari. 

Misi diteruskan dengan Pertandingan Inovasi 3R. Pertandingan berkumpulan ini diadakan bertujuan menghargai barang-barang terpakai yang terdapat disekeliling kita. Terdapat 6 kumpulan yang terdiri dari ahli Kelab Fotojurnalis dan Skuad 3R. Setiap kumpulan dinilai oleh panel hakim yang terdiri dari pensyarah UPM antaranya Dr Hisham, Dr Izzah dan Dr Mashitah. Sementara menunggu keputusan rasmi Pertandingan Inovasi 3R, satu taklimat ringkas mengenai Inovasi 3R telah disampaikan oleh Dr Hisham dari Jabatan Biologi. Terdapat banyak input berguna yang telah disampaikan beliau. Rata-rata peserta begitu teruja dan kagum dengan ilmu yang dikongsikan. Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah dan cenderahati. Pertandingan Inovasi 3R telah dimenangi oleh kumpulan The Power Of 3R dengan inovasinya Rak Buku Pelbagai Guna. Jutaan terima kasih buat Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM kerana memberikan layanan istimewa buat kami. Semoga program bercorak rekreasi dan ilmiah ini dapat diteruskan di masa akan datang. TERIMA KASIH.