Aku melihat
sebatang pensel itu dari kerusi rehat berhampiran kawasan perhimpunan. Tiada
siapa yang memperdulikannya. Sebatang pensel di tepi kawasan perhimpunan
pelajar itu dibiarkan sepi. Penselnya masih panjang dan diasah tajam. Siapakah
tuan punya pensel itu??Mengapa tiada seorang pun pelajar sekolahku ini
mengambilnya? Adakah pensel itu terlalu murah??
Adakah
pensel itu tiada ertinya dalam kehidupan mereka??
Aku membiarkan sehingga
perhimpunan pagi itu tamat…Aku ingin memerhatikan siapakah dikalangan pelajarku
akan mengambil pensel itu. Apabila perhimpunan pendek itu selesai, aku
mengharapkan ada yang mengambil pensel itu…namun semuanya hampa. Kebanyakkan
pelajar berlalu pergi walaupun aku tahu sesetengahnya menyedari kewujudan
pensel itu disitu. Hatiku lebih terharu apabila pensel itu dipijak oleh
beberapa orang pelajar. Mereka menyedari telah terpijak pensel itu, namun
mereka berlalu pergi tanpa mengambilnya. Setelah semua pelajar berlalu pergi,
aku memungut pensel itu. Aku membawa pensel itu kedadaku. Tanpa kusedari,
airmataku mengalir dipipi tanpa dijemput. Kenangan lalu sewaktu disekolah
rendah awal tahun 80-an terimbau diruangan memori.
“Mak, Syim nak beli pensel baru
la…pensel lama ni dah pendek sangat”. Kataku pada emak yang sedang memasak.
“Sabar la nak ye. Mak tak da
duit lagi. Nanti kalau ada duit mak belikan ye. Guna la dulu pensel yang ada
tu.”Balas ibuku.
Aku memerhatikan sahaja pensel
yang akan kutulis itu. Sudah terlalu pendek dan agak sukar untuk aku
memegangnya. Bahagian atas pensel aku ikat dengan getah. Getah ikat sayur itu
dijadikan pemadam jikalau aku ada melakukan kesilapan ketika menulis. Duit
belanja yang abah bagi setiap hari hanya 20 sen. 10 sen beli air dan 10 sen
lagi beli sepotong kuih. Mungkin itu sahaja yang termampu diberi sebagai
belanja kesekolah. Pensel pada waktu itu rasanya berharga 30 sen. Aku harus
mengikat perut dalam 2 hari untuk membeli pensel baru…sedangkan peperiksaan
akhir tahun darjah 5 akan bermula dalam 3 hari lagi. Dalam hati, aku bertekad
tidak akan berbelanja selama 2 hari untuk aku dapat membeli sebatang pensel
baru untuk aku gunakan semasa peperiksaan nanti.
“ Hashim, datang jumpa cikgu
sekejap waktu balik nanti”. Kata cikgu Ahmad Yusof. Guru Bahasa Malaysia yang
tegas namun baik itu.
“ Baik, cikgu”. Balasku.
Loceng
tamat persekolahan berbunyi. Aku tergesa-gesa kebilik guru. Cikgu Ahmad Yusof
sedang menanda buku latihan pelajarnya. Aku memberi salam dan mengucup tangan guruku.
“ Hashim, kenapa tulisan kamu
agak buruk dalam buku latihan ni? Selalunya tulisan kamu cantik dan mudah cikgu
membacanya”. Soal cikgu Ahmad Yusof tegas.
Aku hanya
mendiamkan diri. Aku tidak mahu menceritakan kepada guruku yang pensel yang
kutulis telah amat pendek dan menyukarkan aku untuk menulis. Tulisanku dalam
buku karangan itu tidak kemas sama sekali.
“ Hashim, keluarkan pensel kamu.
Cikgu nak lihat”. Pinta cikgu Ahmad Yusof. Beliau seperti sudah tahu sebab
mengapa tulisanku dalam buku karangan itu agak buruk.
Aku
mengeluarkan pensel yang telah pendek itu dengan linangan air mata. Aku
menceritakan segalanya pada cikgu Ahmad Yusof sambil aku mengenggam pensel
pendekku itu. Aku takut kehilangan pensel pendek itu kerana itulah satu-satunya
penselku.
Cikgu Ahmad yusof mengeluarkan
pensel barunya dari dalam bekas alatulisnya. Beliau menyerahkan pensel baru
yang panjang kepadaku sambil berkata:
“ Hashim, cikgu hadiahkan
sebatang pensel ini pada kamu. Cikgu mahu kamu belajar bersungguh-sungguh dan mencapai
kejayaan dalam hidup.
“ Baik, cikgu. Saya akan ingat
kata-kata cikgu. Terima kasih cikgu”. Balasku.
Aku pulang
kerumah dengan mengenggam 2 batang pensel. Pensel lama dan pensel baru hadiah
dari guruku.
Cikgu, hari ini aku telah berjaya guruku. Walaupun
cikgu Ahmad Yusof telah tiada, aku sentiasa mendoakan kesejahteraannya disana.
Semoga beliau sentiasa menjadi bintang terang dilangit syurga.
Aku membawa pensel yang kupungut
tadi kebilik guru. Akan aku gunakan sebaik mungkin pensel itu.
Nukilan,
Cikgu
Serai.