SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK BANDAR BANTING  »   Iltizam dan Tawakal Asas Kecemerlangan

Isnin, Mei 14

Gurindam Jiwa Buat Guru

Gurindam Jiwa Buat Guru

Gurindam jiwa buatmu guru
Pekerjaanmu murni usahlah ragu

Semangatmu guru menjadi kemegahan
Penuh kelembutan dalam ketegasan

Gayamu guru menjadi idola
Langkahmu yakin sejak mula

Kasihmu guru tiada sempadan
Menjadi prinsip sumber kekuatan

Baktimu guru disanjung tinggi
Usah diragu disangkal lagi

Nasihatmu guru janganlah leka
Untuk pedoman di hari muka

Ajaranmu guru menjadi bekalan
Ketulusan hati menjadi amalan

Bicaramu guru menjadi hikmat
Buat kenangan ke akhir hayat

Dedikasimu guru berjiwa murni
Pembimbing setia generasi kini

Ilmumu guru menjadi ikutan
Berjiwa tabah menjadi ingatan

Guru berkualiti sumber inspirasi
Penuh berhemah pelajar serasi

Jasamu guru menjadi lagenda
Ilmu terpahat penuh di dada

Guru cemerlang pembelajaran gemilang
Membawa pelajar menggapai bintang

Cekalmu guru pembina bangsa
Maju negara setiap masa

Pengorbananmu guru tiada tandingan
Pasti dikenang sepanjang zaman

Nukilan : Cikgu Hashim 
Mac 2011