SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK BANDAR BANTING  »   Iltizam dan Tawakal Asas Kecemerlangan

Jumaat, Disember 22


Hari Mengambil Keputusan PT3

Tahniah dan syabas buat para guru dan murid yang telah berusaha sehabis baik dalam mengharungi Pentaksiran Tingkatan 3 bagi Tahun 2017. Semoga keputusan ini menjadi satu kayu ukur dan pembakar semangat buat para murid. Perjalanan masih panjang, teruskan berjuang dan cemerlang di SPM 2019.








Majlis Menjunjung Budi Menyanjung Bakti 24 Nov 2017

Mereka merupakan legenda di SMK Bandar Banting, pasti kekosongan yang mereka tinggalkan tidak dapat dicari ganti. Mereka ialah Pn Hjh Kamilah Ismail dan Pn Hjh Siti Hajariah Tamyed. Dua personaliti di bidang yang berbeza. Pn Kamilah merupakan seorang guru mata pelajaran Perdagangan yang sangat disegani manakala Pn Siti Hajariah merupakan Ketua Kerani. Tanggal 24 November merupakan hari terakhir perkhidmatan mereka di SMK Bandar Banting, justeru bagi meraikan dan sebagai tanda ucapan terima kasih, satu majlis yang cukup simbolik telah diadakan. Majlis Menjunjung Budi, Menyanjung Bakti. Sangat cocok nama majlis ini dengan sumbangan dan jasa yang telah mereka curahkan. Kehadiran para rakan taulan dan jemputan khas memeriahkan lagi majlis ini. Majlis diserikan dengan pelbagai acara yang menarik antaranya persembahan nasyid dari kumpulan Irsyad, persembahan rekorder oleh para guru yang mengalunkan lagu pelangi petang, dendangan suara yang lunak dan merdu dari Cikgu Nordiana, penanaman Pokok Doa, upacara memotong kek, sesi fotografi beramai-ramai dan pelbagai lagi.
Tanpa disangka majlis ini juga dikejutkan dengan perpindahan guru Sains kesayangan murid iaitu Cikgu Norzariah. Keputusan permohonan pindah ke negeri kelahirannya baru sahaja diluluskan pada hari majlis persaraan ini dijalankan.
Akhir kalam, kami warga SMKBB mengucapkan selamat bersara dan berbahagia disamping keluarga tercinta buat Pn Hjh Kamilah Ismail dan Pn Hjh Siti Hajariah Tamyed. Kepada Cikgu Norzariah selamat bertugas di tempat baharu. Sesungguhnya pemergian kalian amat kami rasai dan akan senantiasa kami rindukan.